Jangan buat ugutan untuk boikot KK Mart mengenai isu stokin kalimah Allah - Ahli Parlimen DAP Tidak perlu ancaman keterlaluan berhubung kontroversi KK Mart membabitkan penjualan stokin kalimah Allah, kerana ia tidak produktif dan hanya akan memecahbelahkan lagi masyarakat, kata seorang ahli parlimen DAP. Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii memberi amaran bahawa ancaman sedemikian akan memberi kesan kepada pekerja semua kaum dan mungkin menjejaskan ekonomi. “Saya faham ini isu penting dan tidak sepatutnya berlaku sejak awal. “Walaupun sebagai orang yang berbeza kepercayaan, saya akan faham bagaimana rasanya jika kesucian agama dilambangkan dengan cara yang sama seperti dalam contoh ini. “Sebab itu saya memahami kepentingan mencari jalan tengah dan jalan ke hadapan yang terbaik untuk semua, menangani salah faham dan sensitiviti semua pihak,” kata Yii dalam satu kenyataan malam tadi. Beliau menambah bahawa salah faham itu bermula melalui salah komunikasi antara pembekal produk dan pemilik kedai, kerana pemiliknya tidak menyedari stokin yang dihantar ke kedainya direka bentuk sedemikian. Yii menegaskan bahawa KK Mart telah mengambil langkah segera untuk membetulkan isu itu, termasuk memohon maaf secara terbuka dan mengambil langkah selanjutnya untuk meredakan kebimbangan dan salah faham. “Pemuda Umno apabila menyedari perkara ini, sepatutnya mencari jalan ke hadapan yang lebih baik termasuk mengambil ini sebagai peluang untuk merapatkan jurang dan bukannya memecahbelahkan rakyat. “Kita tidak boleh bersikap reaktif terhadap sebarang isu, dan sebagai pemimpin muda, kita mesti melihat untuk membawa politik dan dasar matang yang menggalakkan integrasi sosial dan bukannya ancaman yang memecahbelahkan kita. "Terdapat banyak perkara yang perlu kita fokuskan sebagai sebuah negara yang kita semua perlu bekerjasama, mengutamakan ekonomi dan kebajikan rakyat kita tanpa mengira latar belakang," kata ketua Pemuda DAP itu. Semalam, setiausaha agung MCA Chong Sin Woon menggesa Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh supaya tidak "membuta tuli" membuat gesaan boikot terhadap rangkaian kedai tersebut, mencadangkan bahawa tindakan sedemikian akan merugikan negara. “Saya juga nak mengingatkan Ketua Pemuda Umno supaya tidak memperbesar-besarkan isu stokin KK Mart dan jangan bermain taktik boikot secara membabi buta, jika tidak, yang menjadi mangsa adalah negara kita,” kata Chong. Sementara itu, Exco Selangor Ng Sze Han berkata ekonomi Malaysia memerlukan usaha kolektif semua rakyat untuk bertoleransi terhadap amalan etnik, agama dan budaya yang berbeza. Beliau juga menekankan bahawa rangkaian KK SuperMart dengan lebih 800 cawangan dan 5,000 pekerja, memainkan peranan penting dalam ekonomi dan merupakan sumber rezeki bagi banyak keluarga katanya. - Malaysiakini #liputan7