Bagaimana masa kita dimanfaatkan? (dipetik dari https://tadabburshares.wordpress.com) 1. Allah merakam ucapan orang-orang kafir dan orang-orang musyrikin Arab yang mengingkari hari kiamat. 2. Mengapa perkataan mati (نَمُوتُ) disebut dahulu kemudian baru perkataan hidup (نَحۡيَا)? Ini kerana mereka beranggapan manusia itu awalnya tidak bernyawa (sebelum ditiupkan ruh) dan hidup itu merujuk kepada kehidupan di dunia dan tidak ada kehidupan lain selepasnya. Disebabkan pegangan sebegini hidup mereka dipenuhi dengan hal-hal keduniaan, sentiasa mencari-cari keseronokan dan hiburan sehingga tanpa sedar mereka telah jauh dari agama namun tidak mengakuinya. 3. Inilah gambaran masyarakat yang tertipu dengan kesenangan yang sementara, menghabiskan masa dengan mengejar hal-hal material sehingga mereka dengan angkuh berkata: Tidak ada yang membinasakan kami selain masa (وَمَا يُهۡلِكُنَآ إِلَّا ٱلدَّهۡرُۚ). Mereka mencela masa kerana menurut mereka masa itulah sumber segala musibah. Walhal Allahlah pencipta masa dan yang mengizinkan sesuatu berlaku. 4. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim serta Abu Dawud dan an-Nasa-i, dari Abu Hurairah ia bercerita: Bahwa Rasulullah saw. bersabda: قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ يُؤْذِينِى ابْنُ آدَمَ يَسُبُّ الدَّهْرَ وَأَنَا الدَّهْرُ أُقَلِّبُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ Allah Ta’ala berfirman: "Anak Adam telah menyakiti-Ku, dia suka mencela masa. Padahal Akulah pencipta masa. Akulah yang menggilir siang dan malam” 5. Allah menyangkal kedua-dua dakwaan mereka. Dakwaan mereka itu hanya sekadar sangkaan yang samar dan lemah, bukan atas dasar pencarian ilmu untuk memahami hakikat sebenar. 6. Mereka sendiri meragui pendirian mereka tentang hakikat kehidupan yang sekadar bertujuan untuk dihabiskan masa. Jika begitu, apa beza kita dengan binatang? Kenapa manusia diberikan akal dan nafsu? Mereka sendiri tidak dapat memberi jawapan kepada persoalan-persoalan yang mereka cetuskan sendiri. 7. Muhasabah kembali diri kita. Dimanakah kebanyakkan masa-masa kita dihabiskan? Mendengar musik atau mendengar alunan Al-Quran? Mencari-cari gossip atau mentadabbur Al-Quran? Kita perlu sedar akan matlamat hidup yang sebenar Ingatlah bahawa dunia untuk beribadat, akhirat itu negeri abadi. Firman Allah dalam surah Az-Dzariyat ayat 56: وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ ٥٦ “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” 8. Kita ada peluang untuk mencorak kehidupan sendiri. Persoalannya corak yang bagaimana kita mahukan, seperti Ashabul Kahfi yang menghadapi pelbagai rintangan mencari redha tuhan atau anak Nabi Nuh yang penuh keseronokan tetapi akhirnya ditenggelamkan kelaut bersama nafsu dan keangkuhan. Rujukan: Tafsir Ibnu Kathir Tafsir Tahrir Wa Tanwir Tafsir Al-Azhar