Selamat Hari Raya dan maaf zahir batin dari saya sekeluarga. Bagi saya, hak paling atas Aidilfitri adalah ibu bapa, kemudian isteri dan anak, seterusnya adik beradik. Kepada yang muda, akan sampai masanya yang kita mula nampak (dari satu hari raya ke hari raya yang lain) ibu dan ayah kita semakin kurang kesihatan dan kemampuan fizikal untuk berhari raya. Mereka tidak lagi selincah seperti muda walaupun mereka cuba sedaya upaya untuk membuat persiapan seperti muda-muda. Resam manusia, kita tidak sedar bahawa kita semakin tua dan Allah tarik nikmat kesihatan. Hari raya adalah peringatan setiap tahun yang masa kita bersama ibu bapa dan adik beradik semakin pendek. Saya hanya berpeluang beberapa kali setahun untuk menghabiskan masa (beberapa hari setiap cuti) dengan ibu bapa saya. Ingatan bahawa kita ini semuanya akan kembali kepada Allah dan harta paling bernilai (iaitu masa) semakin berkurang setiap tahun. Segala kelebihan kita di dunia ini tidak bermakna sekiranya kita tidak dapat menggembirakan ibu bapa kita, terutamanya di hari raya. Walau apa pun keadaan kita di setiap hari raya (gembira, bersedih, kaya, miskin), berusahalah untuk menggembirakan ibu bapa kita. Kebetulan saya lahir pada 1 Syawal, jadi setiap Aidilfitri mengingatkan ibu bapa saya kepada kelahiran saya. Saya berdoa supaya sehinggalah mereka kembali menemui Allah, kehadiran saya di dunia menggembirakan mereka seperti kelahiran saya pada 1 Syawal 48 tahun yang lepas. Selamat Hari Raya dari saya, isteri dan anak saya, serta 10 ekor kucing saya: Bella, Max, Luna, Toby, Luca, Biscuit, Muffin, Marble, Brownie dan Blondie. Hati-hati di jalan raya.