Tujuan buku ini adalah untuk membantu sesiapa sahaja bagi memahami pengertian asas bacaan dalam solat. Buku ini mengandungi terjemahan daripada bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu secara per-kata, secara frasa dan secara keseluruhan sesuatu surah atau doa yang dibaca. Oleh itu, diharapkan ini dapat membantu kita semua untuk: a) memahami serta menghayati apa yang dibaca b) menunaikan solat dengan lebih bermakna dan khusyuk c) belajar bahasa Arab berasaskan perkataan, ayat, surah dan doa dalam solat Ini menjadi asas permulaan untuk belajar bahasa Arab dan memahami kandungan Al-Quran seterusnya. Imam Al-Ghazali memetik ayat Allah yang bermaksud: “Dirikan solat untuk mengingati-Ku” (surah Ta Ha, ayat 14) serta hadith-hadith Rasulullah bagi menunjuk dan menghuraikan betapa perlunya ‘menghadirkan hati’ dan khusyuk semasa solat. Untuk ini adalah penting pengamal solat memahami dan menghayati apa yang dibaca dalam solat. 90% Pelajar Tidak Faham Maksud Bacaan Dalam Solat Kajian tinjauan di kalangan pelajar sebuah universiti dan beberapa sekolah menengah oleh Profesor Emeritus Dato' Dr. Isahak Haron dan rakan-rakan pensyarah di UPSI menunjukkan hampir 90% daripada pelajar tidak dapat memahami erti apa yang mereka baca dalam solat, termasuk surah Al-Fatihah. Untuk mengatasi kelemahan ini, kumpulan beberapa pensyarah di UPSI telah mengambil inisiatif menterjemahkan ayat, surah, dan doa yang dibaca dalam solat ke dalam bahasa Melayu. Tujuannya adalah bagi memberi pengetahuan dan kefahaman asas apa yang dibaca dalam solat. Terjemahan ini dibuat secara per-kata dan keseluruhan. Kandungan buku ini dibahagi kepada beberapa bab kecil, dan dalam setiap bab terdapat latihan-latihan mudah bagi memudahkan pelajar atau sesiapa belajar bacaan dalam solat, sama ada dengan panduan guru atau belajar sendiri. Cara menggunakan buku ini: Buku ini boleh digunakan oleh sesiapa sahaja untuk membantunya memahami bacaan dalam solat. Guru boleh menggunanya untuk mengajar pelajar membaca dan memahami apa yang mereka baca. Pelajar dan orang dewasa boleh menggunakan buku ini untuk belajar sendiri. Bacalah isi setiap bab dalam buku ini dan buatlah latihan-latihan di dalamnya. Latihan ini mudah sahaja. Anda hendaklah mengetahui makna setiap perkataan, frasa, dan ayat, dan menguasai makna apa yang anda baca. Ulang beberapa kali sehingga anda betul-betul ingat dan memahaminya. Anda boleh bermula dengan mana-mana bab yang anda berminat. Oleh kerana buku ini memberi terjemahan asas sahaja, mereka yang ingin mengetahui pengertian yang lebih mendalam setiap doa dan surah bolehlah membaca huraian mengenainya dalam kitab atau penulisan alim ulama dengan berguru daripada mereka yang arif dalam hal ini. Fahami Bacaan Dalam Solatmu Solat adalah wahana komunikasi seorang hamba dengan Tuhan yang seharusnya terjadi dengan suasana penuh mesra dan intim. Solat yang benar menghasilkan ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup seorang hamba. Ia melahirkan natijah kejayaan hidup di dunia dan akhirat, seperti mana yang dijanjikan di dalam al-Quran. Hal ini terjadi apabila seorang hamba menunaikan solat dengan penuh rasa khusyuk dengan memahami dan menghayati setiap patah perkataan yang diucapkan. Dengan demikian itu, proses komunikasi antara seorang hamba dan penciptanya akan lebih bermakna dan memberi impak yang maksimum. Karya barisan panel penulis yang berautoriti dalam bidang agama ini adalah sebahagian daripada inisiatif bagi membantu orang Islam dalam memahami bacaan dalam solat mereka. Buku ini menyediakan panduan bergambar cara yang betul menunaikan solat, terjemahan lengkap dan secara per-kata bagi setiap ayat serta perkataan yang biasanya dibaca dalam solat. Di penghujung setiap bab, latihan kefahaman disediakan bagi menguji dan meningkatkan daya ingatan serta hafalam pembaca. #solat #caramahagama #ustazazharidrus #ustazdasuki #fahamibacaansolat #fahamibacaandalamsolatmu #fahamibacaansolatmu #ceramahislam #ustazah #ustaz