Kereta peronda itu terus berada di situ biarpun Razman lambai dengan senyum mesra kepada dua pegawai polis itu di tepi keretanya. Siap bukakan pintu buat Amira agar nampak macam dia suami yang baik. Tidak cukup itu, kereta peronda itu turut escort kereta Razman sehingga sampai ke mahkamah. Belum habis lagi... kedua-dua pegawai itu menunggu di kereta sambil memerhatikan keluarga itu membuatkan Razman dan ibu bapanya merasa tidak selesa. Hati Razman mendongkol marah. Dia nak balas sakit hatinya ini di depan hakim nanti. Sehinggalah tiba mereka menghadap hakim, hakim itulah yang perasan kecederaan pada mata Amira. “Kamu sakit mata ke atau mata kamu cedera kena pukul dengan suami kamu?” tanya hakim itu tiba-tiba. Amira pada awalnya tersentak dengan soalan yang tidak disangkanya. “Saya kena pukul dengan tuala pagi tadi. Terkena mata saya.” “Siapa pukul kamu?” “Suami saya.” Razman sampai tidak terkata. Pekung dia dulu yang terbuka. Hajatnya nak buka pekung Amira sebab sundal! “Baik. Saya nasihatkan kamu buat laporan polis sementara kesan merah tu masih ada. Cuma, takkanlah kita nak masuk penjara kerana sehelai tuala, tak begitu?” perli hakim itu sambil mengerling Razman. Maka prosiding itu bermula dengan pengesahan lafaz sumpah laknat yang pernah diucapkan oleh Razman kepada isterinya. “Apa pengakuan defendan tentang lafaz sumpah laknat yang berbunyi seperti berikut... Dengan laknat Allah kepada kau, aku tahu berzina dengan lelaki lain?” Entah bagaimana hakim itu menyaksikan 3 individu yang berbicara serentak padahal yang ditanyakan adalah peguam itu saja. Hakim mengangkat kening kerana terkejut dengan keadaan itu. “Maaf, saya ajukan soalan kepada peguam defendan. Puan ada apa nak kata? saya bagi peluang.” Mak Cik Rozaidah berdiri tanpa sedar dia sedang menyulitkan keadaan anaknya. “Demi Allah, memang saya tahu dia berzina dengan lelaki lain. Kerana saya kenal dia.” “Atas dasar apa tuduhan ini dibuat sedangkan defendan tidak ada bukti jelas yang plaintif berzina dengan lelaki lain.” “Kerana menantu saya bernama Hizam mengaku dia pernah tidur dengan perempuan sundal ni...” “Sila gunakan bahasa yang baik, puan. Sebut dia sebagai plaintif. Awak ada depan hakim sekarang. Bukan di rumah anak dan menantu.” “Maaf, tuan hakim. Menantu saya Hizam itu mengaku dia memang pernah tidur dengan plaintif ni banyak kali.” Suara Mak Cik Rozaidah mengendur. “Silakan duduk. Saya nak ingatkan puan, jangan menyampuk lain kali ya? Atau saya arahkan semua ahli eluarga keluar nanti.” “Lokasi kejadian adalah di rumah defendan dan plaintif?” tanya hakim itu. “Ya, tuan hakim...” jawab Razman. “Macam mana lelaki itu boleh ada di dalam rumah awak? Dijemput oleh plaintif?” “Dia adik ipar saya. Rumah saya dan macam rumah dia kerana kami keluarga. Dia pemandu lori. Jadi, apabila perlukan tempat bermalam, dia bebas datang ke rumah saya. Memang semenjak saya bujang lagi dia sering bermalam di rumah saya.” “Bermalam ketika isteri awak ada di rumah?” “Ya.” “Pernah atau tidak, awak membiarkan isteri awak berdua-duaan dengan adik ipar di rumah.” “Err... pernah.” Ternganga hakim itu kagum dengan jawapan Razman. “Makanya adik ipar awak itu datang ke rumah itu dengan kebenaran awak?” “Ya.” “Alangkah jahilnya suami... kalau benar isteri berzina, ini kerana awak jahil membuka ruang yang besar untuk mereka buat dosa. Awak tak tahu hukum isteri awak dan adik ipar awak itu tidak mahram makanya haram mereka bersekedudukan. Malahan sekiranya Hizam itu jantinanya wanita, awak dan Hizam sendiri pun tidak mahram. Keluarga apa yang awak maksudkan?” “Maksud saya, kami memang rapat...” terkial-kial Razman nak menegakkan benang yang basah. “Baik. Saya ulang sekali lagi... tentang lafaz sumpah yang pernah awak katakan kepada isteri sebelum ini yang berbunyi, dengan laknat Allah kepada kau, aku tahu berzina dengan lelaki lain... Adakah awak mengaku pernah menyebutnya?” Razman memandang emaknya di belakang. wanita itu angguk berkali-kali. “Ya, pernah tuan hakim sebab saya yakin dia memang berzina.” #toksik #adnilzaff #random