Pada tahun ke-10 kenabian, iaitu 3 tahun sebelum hijrah, Nabi Muhammad s.a.w. menghadapi satu tentangan yang luar biasa hebatnya. Kaum Quraish memulaukan baginda. Dalam keadaan yang penuh tekanan ini, Nabi bersama Zaid ibn Harithah telah memilih bandar tinggi Taif untuk medan dakwahnya. Sesampainya di Taif, Nabi bertemu dengan tiga orang ketua Bani Thaqif iaitu suku Arab terbesar di Taif. Salah seorang dari mereka tidak mahu campur urusan dakwah ini. Dia mengatakan, "jika engkau pendusta, aku tidak mahu layan pembohongan ini, tetapi jika kamu benar-benar Nabi, aku tidak mahu dilaknat". Dua orang lagi berhujah dengan Nabi. Mereka yang memang dari awal menolak dakwah ini terus menghina-hina dan memperbodohkan Nabi yang mulia ini. Akhirnya mereka berdua menghalau Nabi. "Keluar kamu dari negeri kami ini". Mereka mengheret Nabi keluar dari Bustan as-Thaqif (taman Thaqif). Penduduk yang sejak awal berkumpul di sekeliling Nabi menolak-nolak Nabi. Anak-anak muda yang lebih agresif membaling nabi dengan batu. Batu-batu itu melukai kepala, badan dan kaki Baginda. Zaid menjerit-jerit menahan batu yang dilemparkan kepada mereka. Nabi yang cedera meninggalkan Bustan at-Thaqif. Ketika menuruni curam bukit, batu masih lagi menghujani mereka berdua. Setelah jauh, Nabi bersandar di satu batu, baginda memegang badan Zaid, bertanyakan khabar keadaan Zaid. Zaid yang juga cedera lebih membimbangkan keadaan Nabi. Darah mengalir dari badan Nabi. Ketika itu Nabi mengangkat tangan dan berdoa mengadu keadaanya pada Allah.